Friday, 12 July 2013

Salam Ramadhan 1434 H & Fadhilatnya

 



Assalamualaikum dan Salam sejahtera..Masih belum terlambat untuk kami, warga Unti Bimbingan & kerjaya, SMK Ulu Tiram ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1434 H. Alhamdulilah, 1 Ramadhan bersamaan 10 Julai 2013 telah pun kita sambut. Moga hari-hari yang mendatang ini dapat kita sama-sama lalui dengan penuh kesabaran.

                        Di sini ingin saya kongsikan,menjalani ibadah puasa dapat melatih diri dan membentuk sifat-sifat terpuji. Antaranya:

* sifat ikhlas
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keihklasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya. seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah, ia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadat ini lebih istimewa dari yang lain. sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

* Kekentalan jiwa
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya selain Ramadhan. Ini mendidik kita lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.

* Sabar
Puasa melatih kita supaya dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadhan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dalam kehidupan.

* Memelihara fizikal
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, mata, telinga, lidah, tangan dan kaki dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

  * Prihatin dan belas kasihan
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

* Membuka hijab antara diri dengan Allah
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

SUMBER : Yang Terindah